Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 17 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam memperkasakan usahawan tempatan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai institusi kewangan dari dalam dan luar negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, kerjasama ini menjadi antara langkah penting untuk memacu pembangunan usahawan negeri ke tahap yang lebih tinggi.
“Kerjasama pada hari ni adalah berkaitan daripada apa yang telah kita dasarkan bahawasanya usahawan-usahawan ini selain daripada Kerajaan Negeri adalah institusi kewangan yang di luar sana yang boleh membantu pembangunan dan juga untuk memperkasakan usahawan negeri Pahang ini,” katanya.

Beliau juga berkata usaha ini turut memberi fokus kepada tahap peningkatan usahawan sedia ada terutamanya dalam aspek keperluan pembiayaan dan pengembangan perniagaan secara menyeluruh.
“Kita nak mempertingkatkan lagi daripada usahawan yang sedia ada ini mungkin tahap 1 (tahap usahawan) dia akan menuju ke tahap 2.
“Apabila tahap 2, mereka memerlukan sokongan daripada institusi kewangan, bukan sahaja bank malah institusi kewangan yang lain yang boleh membantu seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat), TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga), dan SME Bank yang boleh membantu membesarkan permohonan ekonomi daripada perniagaan mereka mereka secara holistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Libat Urus bersama pihak bank di Negeri Pahang dan Agensi Pembangunan Usahawan Negeri di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS).

“Kerajaan Negeri boleh membantu secara dasarnya dan juga membantu secara mungkin pemasarannya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri juga komited dalam menyokong usaha ekonomi rakyat, bukan sekadar dari sudut dasar dan pelaksanaan, tetapi juga melibatkan aspek pemasaran, promosi produk, dan pemerkasaan jenama tempatan.
“Namun bekerjasama dengan seluruh agensi dan institusi insyaAllah ia akan dapat satu wow factor yang lebih besar lagi kepada usahawan Negeri Pahang terutama untuk export. Lagi kita nak menyediakan untuk bersiap siaga di arena yang lebih besar dalam permohonan produk mereka di luar Negeri Pahang ini,” katanya.
Hadir sama dalam sesi libat urus ini adalah institusi perbankan seperti Agrobank Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Simpanan National, CIMB Bank, RHB Bank Berhad, dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia. -PAHANGMEDIA

