Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM11.557 juta bagi pelaksanaan inisiatif kad kesihatan warga emas menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak lebih RM16 juta.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi kad kesihatan berkenaan di bawah Inisiatif Makmur (IM) Pahang sebelum ini.
“Kita ada pertambahan sebanyak RM11 juta lagi kerana kita dapati ramai yang berminat dan mendapat sambutan.
“Mereka kata jika mereka dapat kad kesihatan ini mereka boleh pergi ke klinik yang telah ditentukan oleh Kerajaan Negeri dan mereka tidak perlu pergi ke hospital kerajaan, mengurangkan queue, dan mereka boleh mendapat rawatan dengan kadar yang segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Apa Khabar Orang Kita Dan Penyampaian Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli 2025 di Yayasan Pahang.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Hadir sama, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Dr Ramli Dato’ Mohd Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah; dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Encik Adam Zaidi Mahidin.
Menurut beliau lagi, bagi menjaga kebajikan pra batin di negeri ini, Kerajaan Negeri Pahang turut meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membaik pulih kediaman Tok Batin yang memerlukan.
“Tadi saya meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk repair rumah Tok Batin dan saya serah tanggungjawab ini kepada ORACO kerana saya mendapat rungutan ada di kalangan mereka yang rumahnya agak uzur.
“Dan kita ada kedudukan kewangan, kita luluskan serta merta pada hari ini. Ia melibatkan Tok Batin di seluruh Pahang, yang akan dikenal pasti sekiranya perlu diperbaiki, kita akan baiki, atas peruntukkan RM500,000 ini dahulu,” katanya. -PAHANGMEDIA

