Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 11 JUN 2025 : Semua masjid di seluruh Negeri Pahang diminta menganjurkan solat jenazah ghaib kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim, solat jenazah ghaib ini sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
“Menjunjung Titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang mengumumkan bahawa semua masjid di negeri Pahang diminta menganjurkan solat jenazah ghaib mangsa kemalangan bas (terhadap pelajar UPSI), dan bacaan yasin dan tahlil pada hari Khamis, 12 Jun 2025, selepas solat maghrib (malam Jumaat),” katanya.
Beliau berkata majlis solat sunat dan bacaan Yassin serta tahlil tersebut juga bagi mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan mangsa terlibat serta Negeri Pahang.
“Semoga kita sama-sama mendoakan dalam majlis tersebut kesejahteraan dan kesembuhan kepada mangsa yang masih dirawat, dan mendokan semoga negeri Pahang secara khususnya dijauhkan daripada segala bencana alam dan kemudaratan,” katanya. -PAHANGMEDIA

