LIMA LOKET, 10 SYILING EMAS MENANTI PELAYAR FB SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN
KUANTAN 30 OGOS 2020: Hadiah berupa lima loket dan 10 syiling emas edisi khas Hari Kebangsaan 2020 serta lima tudung Bawal Exclusive bakal menanti pelayar Facebook sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Pahang, esok.
Pengerusi Sambutan, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Pahang, pihak urusetia menganjurkan kuiz Hari Kebangsaan 2020.
Beliau berkata, soalan akan dikemukakan sepanjang siaran langsung Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Pahang menerusi Facebook Kerajaan Negeri Pahang pada 31 Ogos ini.
“Pengguna Facebook perlu menghantar jawapan melalui ‘Private Message’ di Facebook Kerajaan Negeri Pahang.
“Setiap peserta kuiz wajib untuk ‘like’ page Facebook Kerajaan Negeri Pahang dan kongsi siaran langsung Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Pahang sebagai syarat penyertaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, penyertaan akan ditutup dalam tempoh 24 jam selepas tamat siaran langsung Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Pahang.
“Setiap pemenang akan dihubungi oleh Urusetia,” katanya. – PAHANGMEDIA