Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BERA, 09 MEI 2025 : Seramai 49 pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai menerima bantuan secara one-off daripada Kerajaan Negeri Pahang, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, daripada jumlah itu, seramai 41 merupakan pelatih PDK manakala lapan lagi merupakan pelatih yang mengikuti program di rumah.

“Tiga buah PDK yang terlibat ialah PDK Mutiara Kasih Felda Kumai, PDK Mayam Semai Kasih dan PDK Nur Kasih Felda Purun.
“PDK Mutiara Kasih Felda Kumai mencatatkan seramai 14 penerima dengan dua merupakan pelatih rumah dan 12 pelatih pusat.
“PDK Mayam Semai Kasih pula mempunyai 15 penerima iaitu 13 pelatih pusat dan dua pelatih rumah manakala PDK Nur Kasih Felda Purun mempunyai 16 penerima, termasuk tiga pelatih rumah,” katanya.

Menurut YB Dato’ Sabariah lagi, setiap pelatih masing-masing menerima bantuan tunai sebanyak RM250 seorang.
Dalam pada itu katanya, seramai 15 petugas dan penyelia di ketiga-tiga PDK turut menerima sumbangan khas daripada kerajaan negeri.
PDK Felda Kumai mempunyai satu penyelia dan empat petugas; PDK Felda Mayam mempunyai satu penyelia dan tiga petugas termasuk petugas Felda; manakala PDK Felda Purun pula mempunyai satu penyelia dan empat petugas.

“Setiap penyelia dan petugas menerima bantuan sebanyak RM500 seorang,” ujarnya.
YB. Dato’ Sabariah berharap bantuan yang diberikan itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua penerima.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas keprihatinan dan sumbangan yang amat bermakna ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

