Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menyeru agar Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sewajarnya bagi pembinaan kawasan rehat dan rawat (R&R) di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah peruntukan ini bagi menjamin keselesaan pengguna laluan berkenaan selain bagi memastikan imej negeri dapat dipertahankan.
“Selain itu beta melahirkan kebimbangan apabila tiada kemudahan rehat dan rawat (R&R) yang mencukupi di laluan utama negeri beta.
“Situasi ini telah mengundang keadaan yang tidak mengundang keadaan yang tidak menyenangkan, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan, di mana ada segelintir pengguna yang tanpa rasa tanggungjawab membuang sampah merata-rata lalu menggelapkan wajah negeri kita yang indah.
“Justeru, beta menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat menyediakan peruntukan yang sewajarnya untuk membina RNR di laluan-laluan strategik negeri beta. Ini adalah untuk keselesaan pengguna dan imej negeri yang perlu dipertahankan,” titah baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut melahirkan aspirasi baginda mengenai sistem dan fasiliti yang berpihak kepada rakyat di negeri ini.
“Negeri yang maju memerlukan jalan yang terbina kukuh, sistem yang teratur, dah fasiliti yang berpihak kepada rakyat. Itulah aspirasi beta untuk Negeri Pahang Darul Makmur,” titah baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan harapan agar Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan serius untuk menyelesaikan segera projek naik taraf Jalan Kuantan – Segamat.
“Dalam masa yang sama, beta juga ingin menyentuh perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu infrastruktur jalan raya yang menjadi tunjang perhubungan dan urat nadi pertumbuhan ekonomi negeri.
“Beta mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kerja Raya dapat memberi pertimbangan serius untuk menyiapkan segera projek naik taraf laluan FT012 Jalan Kuantan-Segamat.
“Jalan ini bukan sekadar saluran perhubungan tetapi laluan nyawa yang digunakan oleh rakyat seharian. Penambahbaikan ini bukan hanya meningkatkan keselesaan, malah meminimumkan risiko kemalangan yang meragut nyawa,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian sempena Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

