Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 APRIL 2025 : “Jangan bagi orang menceroboh tanah-tanah Negeri Pahang,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan rasa dukacita dengan perkara ini serta melahirkan harapan supaya masyarakat dapat menjaga negeri ini dengan menjadi pemberi maklumat kepada baginda.
“Jagalah negeri kita, jagalah bumi Pahang kita dengan sebaik mungkin. Jadilah mata dan telinga kepada Sultan Pahang.
“Jangan bagi orang menceroboh tanah-tanah Negeri Pahang ini. Saya pun naik darah juga banyak orang menceroboh tanah Negeri Pahang ni,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah tindakan tegas perlu diambil kepada penceroboh tanah secara haram di negeri ini.
“Sudah sampai masanya kita berkeras dan mereka-mereka yang mencerobohi tanah-tanah di Negeri Pahang ini. Kita akan bertindak sedemikian dan kita akan selesai secara baik,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut semalam.
Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Mengiringi keberangkatan Paduka Baginda berdua, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan Pegawai Daerah Jerantut, YH. Dato’ Sharuddin Jali. -PAHANGMEDIA

