Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 14 APRIL 2025 : Sebanyak 22 laporan polis telah diterima berhubung operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Sungai Ruan setakat ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Mohd Shahril Abd Rahman, kesemua laporan polis ini dibuat oleh badan bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.
“Jumlah keseluruhan laporan polis yang telah dibuat setakat ini adalah sebanyak 22 laporan polis dan dijangka akan disambung lagi selepas ini.

“Kesemua laporan ini sebagai sokongan kepada tindakan penguatkuasa dalam menjalankan tugas dalam operasi terhadap kebun durian haram Musang King di Sungai Ruan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membuat tindakan berdasarkan undang-undang bagi memastikan keamanan negeri dan negara.
“Kita nasihatkan kepada orang ramai agar menghormati undang-undang, jangan ambil tindakan sendiri yang sewenang-wenangnya yang dapat mengganggu keharmonian dalam kalangan masyarakat.
“Kita juga ingin menegaskan semua pihak untuk tidak menyentuh isu 3R, raja, agama, dan kaum serta jangan menjadikan isu ini sebagai isu perkauman.
“Perhimpunan ini juga menunjukkan sikap baik dalam mendidik masyarakat menghormati undang-undang yang mana ia turut memudahkan pihak berkuasa menjalankan tugas di lapangan,” katanya. -PAHANGMEDIA

