Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 01 APRIL 2025 : Rumah Terbuka Aidilfitri YAB. Menteri Besar Pahang disifatkan sebagai platform untuk mengeratkan silaturahim secara bersemuka diantara individu di negeri ini secara khasnya.
Seramai lebih 10,000 rakyat Pahang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, dan Orang Asli hadir memeriahkan rumah terbuka yang bermula 9 pagi sehingga 2 petang.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, rumah terbuka yang julung kali diadakan di luar daripada Kuantan ini juga dapat meneruskan tradisi ziarah yang diamalkan di negeri ini.

“Kita dapat berjumpa antara satu sama lain dan dalam masa sama kita boleh berborak-borak, kita boleh berbincang. Kalau tidak, kita buat hal masing-masinglah dalam Facebook, dalam Whatsapp.
“Masa ni secara bersemuka, berjumpa sambil makan, dan ini juga amalan kita di Pahang, ziarah-menziarahi antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Rumah Terbuka Aidilfitri YAB. Menteri Besar Pahang di Dewan Dato’ Shahbandar, Chini, hari ini.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut mengiringi keberangkatan Paduka Baginda berdua, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Yang Mulia Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan; dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebelum itu, YAB. Menteri Besar Pahang juga turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 175 anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada majlis yang berlangsung dari 9 pagi sehingga 2 petang berkenaan. -PAHANGMEDIA

