Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 25 MAC 2025 : Majlis Daerah Raub (MDR) telah mengeluarkan sebanyak tujuh kompaun kepada seorang peniaga nangka yang tular sebelum ini kerana menjalankan perniagaan di atas rizab Jalan Persekutuan FT0008 (Bentong-Gua Musang), di Raub.
Menurut Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Khuzaidi Haron, ia melibatkan kesalahan mungkir mematuhi notis dari Majlis Daerah Raub serta menjalankan perniagaan tanpa lesen dari Majlis Daerah Raub.
Beliau berkata, namun demikian, peniaga berkenaan hanya membayar satu kompaun sahaja setakat ini dan pihak MDR sedang dalam proses untuk mengambil tindakan kepada peniaga berkenaan.
“Anggota Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Daerah Raub telah mengeluarkan tujuh kompaun kepada peniaga nangka berkenaan pada tahun lepas iaitu pada 3 Jun; 4 Jun; 10 Jun; 23 Julai; 27 Julai; 10 Ogos; dan 11 Ogos 2024.
“Setiap kompaun berjumlah RM500 namun hanya satu kompaun sahaja dibayar dan enam lagi akan diambil tindakan pembukaan kertas siasatan oleh pihak MDR,” katanya.
Tambah beliau, pihak MDR juga telah mengeluarkan dua notis menjaja tanpa lesen dari Majlis Daerah Raub kepada peniaga berkenaan sebelum dua tindakan sita dilakukan tahun lepas.
“Selain itu, peniaga berkenaan juga telah menerima dua notis menjaja tanpa lesen dari Majlis Daerah Raub pada 4 Disember 2023 dan 1 Mei 2024.
“Tindakan selanjutnya, Majlis Daerah Raub telah membuat tindakan sitaan bersama-sama jabatan lain pada 6 Jun 2024 dan 8 Ogos 2024 kepada peniaga berkenaan,” katanya.
Beliau berkata laluan tersebut juga merupakan kawasan yang berbahaya dan kerap berlaku kemalangan di mana 20 kes telah direkodkan berlaku sepanjang tahun lepas sehingga Februari tahun ini.
“Menurut maklumat daripada pihak PDRM, terdapat 20 kes kemalangan di kawasan laluan ke Kuala Lipis bermula daripada lampu isyarat simpang Sungai Ruan sehingga kedai Pit Stop direkodkan dari tahun 2024 sehingga bulan Februari 2025 .
“Selain itu, terdapat satu kemalangan maut turut berlaku melibatkan peniaga burger di tepi jalan di Kampung Lepar sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, peniaga ini turut memiliki dua gerai lain yang menjual nangka di kiri dan kanan jalan di Kampung Gali Tengah yang beroperasi sejak 2023.
Sebelum ini tular sebuah video berdurasi dua minit 24 saat di media sosial yang memaparkan seorang wanita memarahi anggota penguat kuasa pada Ahad.
Insiden tersebut berlaku ketika operasi penguatkuasaan dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub bersama Majlis Daerah Raub (MDR) di Jalan Persekutuan FT0008 (Bentong-Gua Musang), dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di lokasi terlibat. -PAHANGMEDIA

