Oleh: Fairus Mohd
TEMERLOH, 15 OGOS 2020: Potensi tinggi tanaman Vanila menjadi faktor utama kepada penubuhan Koperasi Vanila Berhad (bagi negeri Pahang), hari ini.
Presiden Angkatan Koperasi, Dato’ Haji Abdul Fattah Abdullah berkata, tanaman vanila mungkin tidak begitu popular di negara ini namun faktor permintaannya sentiasa meningkat di samping harga semasanya yang mahal.

“Saya sendiri melihat bahawa tanaman yang mempunyai permintaan tinggi termasuk dari luar negara ini boleh setara pendapatannya dengan tanaman sedia ada yang mempunyai nilai komersial tinggi seperti durian Musang King, Black Thorn.
“Bayangkan sahaja, harga sekilo Vanila kering mencecah RM1,500 hingga RM2,000. Vanila adalah tanaman yang dikategorikan sebagai Golden Crop kepada pengusahanya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Penubuhan Koperasi Vanila Berhad di bangunan Angkasa Pahang Zon 2, di sini.
Dalam pada itu, beliau berharap agar lebih ramai pengusaha vanila di negara ini menyertai koperasi yang baru ditubuhkan ini supaya kekuatan yang ada dapat digabungkan seterusnya produk yang dikeluarkan mempunyai nilai tinggi serta dapat dipasarkan secara lebih meluas.

“Permintaan terhadap produk vanila bukan hanya terhad kepada masakan tetapi juga kosmetik. Ini adalah peluang pada jangka masa panjang bagi tanaman ini.
“Kewujudan koperasi pula dapat melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan selain menjadi sebuah entiti bisnes yang menjana keuntungan tinggi serta faedah besar kepada ahli koperasi,” katanya.
Katanya lagi, Angkasa akan membantu dari segi khidmat nasihat, penganjuran kursus, pinjaman dan geran tahunan yang sesuai kepada koperasi. – PAHANGMEDIA