Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 27 JANUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa memberi sokongan dan dorongan berterusan kepada pelajar Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pekan, yang berjaya memenangi pingat emas kategori Robotik Inovasi pada International Robot Olympiad ke-26 2024/2025 di Busan, Korea Selatan, sebelum ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sokongan dan dorongan yang diberikan bukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’, sebaliknya sehingga pelajar terbabit mencapai tahap yang lebih membanggakan.
“Hari ini saya sangat bersyukur dan saya merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar SK Permatang Keledang kerana telah menjadi johon ke peringkat dunia di Busan, Korea Selatan.
“Kejayaan ini bukan terjadi dengan sendiri, saya percaya mereka telah berusaha keras untuk untuk mencapai tahap ini dan Kerajaan Negeri menyediakan dana untuk mereka bagi membolehkan mereka membuat persediaan bagi menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Pahang Media ketika ditemui selepas sesi bertemu pelajar SK Permatang Keledang di Geo Resort Hotel, Genting Highlands, di sini hari ini.

Majlis turut dihadir barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, wakil Orang Asli Corporation (ORACO) dan wakil Petrosains.
Sementara itu, tiga pelajar, Hafiezie A/L Azwanizizi, 12, Matthew Jambai A/L Karong, 11, dan Fizrey Rovince A/L Ronachai, 12, masing-masing menerima sumbangan Kerajaan Negeri berupa wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang atas kejayaan yang dicapai mereka.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, kejayaan yang dicapai tiga pelajar berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah tanpa usaha dan penat lelah guru yang mengajar sehingga pelajar terbabit memperoleh kejayaan.
“Dan kejayaan ini bukan mudah kerana mereka terpaksa bersaing dengan negara-negara lain seperti tuan rumah, sebuah negara yang kita tahu memang pakar dalam bidang ini.
“Kita merakamkan ucapan tahniah kepada guru yang begitu bertungkus lumus mengajar anak-anak dalam pertandingan seumpama ini sehingga mencapai kejayaan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

