Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 25 JANUARI 2025 : Semua pelajar Tahun 1 negeri ini yang akan memulakan sesi persekolahan mereka tahun ini akan diberikan bantuan awal persekolahan menerusi Program Tunas Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang).
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua pelajar Tahun 1 negeri ini tidak perlu membeli barangan keperluan sekolah berikutan ianya akan disediakan oleh Kerajaan Negeri Pahang menerusi inisiatif berkenaan.
Katanya, seperti tahun sebelumnya, Tunas Makmur diteruskan dengan pemberian bantuan kepada semua pelajar Tahun 1 seluruh Pahang manakala pelajar Tahun 2 hingga Tingkatan 5 dalam kategori miskin dan miskin tegar.
“Justeru itu untuk darjah 1 tahun ini, ibu bapa tidak perlu beli barang kelengkapan sekolah. Semua kerajaan negeri sediakan bagi tujuan membantu pendidikan pelajar di Pahang.
“Tentu sahaja program bantuan IM Pahang Tunas Makmur untuk memastikan anak-anak ke sekolah dalam keadaan lengkap untuk belajar,” katanya katanya selepas selesai merasmikan Majlis Perasmiaan Moh Karnival Makmur Peringkat Lipis bertempat di Dewan Terbuka Laman Sejahtera, Sungai Koyan, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Menurut YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, pada tahun ini dianggarkan sekitar 250,000 penerima terdiri dari pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), guru dan pensyarah menerima manfaat dari inisiatif terbabit.
“Apa yang kita telah buat akan teruskan dengan penambahbaikan.”
“Dan tahun ini kita peruntukkan sebanyak RM9 juta dan paling penting semua dapat.”
Selain itu, sebagaimana sebelumnya juga, kesemua penerima akan diberikan kad diskaun 30 peratus yang boleh digunakan di kesemua rangkaian kedai MBS World yang ada di negeri ini. -PAHANGMEDIA

