Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 25 JANUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang meneruskan Program Tunas Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) dengan peruntukan sebanyak RM9 juta tahun ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada tahun ini dianggarkan sekitar 250,000 penerima terdiri dari pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), guru dan pensyarah menerima manfaat dari inisiatif terbabit.

“Apa yang kita telah buat akan teruskan dengan penambahbaikan.”
“Dan tahun ini kita peruntukkan sebanyak RM9 juta dan paling penting semua dapat,” katanya selepas selesai merasmikan Majlis Perasmian Moh Karnival Makmur Peringkat Lipis, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.

Menurut YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, insiatif itu sebagaimana sebelum ini, diteruskan dengan pemberian bantuan kepada semua pelajar Tahun 1 seluruh Pahang dan pelajar Tahun 2 hingga Tingkatan 5 dalam kategori miskin dan miskin tegar di negeri itu.
“Justeru itu untuk darjah 1 tahun ini, ibu bapa tidak perlu beli barang kelengkapan sekolah. Semua kerajaan negeri sediakan bagi tujuan membantu pendidikan pelajar di Pahang.
“Tentu sahaja program bantuan IM Pahang Tunas Makmur untuk memastikan anak-anak ke sekolah dalam keadaan lengkap untuk belajar,” ujarnya.
Selain itu, sebagaimana sebelumnya juga, kesemua penerima akan diberikan kad diskaun 30 peratus yang boleh digunakan di kesemua rangkaian kedai MBS World yang ada di negeri ini. -PAHANGMEDIA

