Oleh : Norhafizan Zulkifli
BERA, 11 JANUARI 2025 : Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kampung Tradisional Bera yang terletak di Kampung Batu Papan, di sini akan dibuka secara rasmi untuk kegunaan orang ramai dalam masa terdekat.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, PAWE berkenaan bakal dimanfaatkan tidak hanya untuk penduduk Kampung Batu Papan, malah juga penduduk kampung tradisional sekitarnya.

Katanya, pusat berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan khas bagi kesejahteraan warga emas di kawasan itu.
“Ini bukan pembukaan rasmi, tetapi pra pembukaan untuk kita lihat apa lagi yang tidak cukup.
“Kita akan pastikan semuanya lengkap sebelum perasmian. InshaAllah, majlis perasmian akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika hadir menyempurnakan majlis pra-pelancaran pusat berkenaan, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad dan barisan pimpinan setempat.
Tambahnya, pusat terbabit dilengkapi dengan kemudahan seperti perabot, kerusi urut, serta dapur untuk menyokong pelbagai aktiviti bagi golongan warga emas.
“Pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan dan dimanfaatkan oleh masyarakat kampung tradisional di sekitar apabila ia mula dibuka nanti,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

