Oleh : Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 10 JANUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) sedang mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu kekosongan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Baris.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, kekosongan berkenaan adalah berikutan penerima sebelum ini gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan justeru tawaran yang diberikan sebelum ini ditamatkan.
Katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, pihaknya kini sedang menyelaras permohonan sedia ada dari data pemohon diberikan pihak LPHP untuk mengenal pasti penerima akhir dalam kalangan pemohon baharu yang layak memiliki rumah tersebut.
“Disebabkan itu, satu mesyuarat telah diadakan dan antara perbincangan termasuklah beberapa pindaan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) juga turut dibincangkan dalam mesyuarat untuk mempercepatkan proses kelulusan, mengurangkan birokrasi, dan memberikan panduan lebih jelas kepada pemohon,” katanya ketika ditemui di Pejabat ADUN Pelangai, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, projek PPR Taman Desa Baris kini merangkumi 320 unit rumah, iaitu 120 unit pada Fasa Pertama dan 200 unit pada Fasa Kedua.
“Dianggarkan 50 hingga 80 unit rumah akan ditawarkan kepada mereka. Kami menyasarkan untuk menyelesaikan kelulusan permohonan ini dan kekosongan dapat dipenuhi menjelang Jun nanti,” katanya lagi.
YB Dato’ Amizar juga berkata, permintaan terhadap perumahan di Pelangai semakin meningkat seiring pertambahan penduduk di kawasan itu.
“Usaha menambah nilai dan melengkapi ruang kosong di PPR Taman Desa Baris akan terus diperkemas bagi memastikan setiap unit dapat dimanfaatkan oleh mereka yang layak.
“Dengan langkah ini, keperluan perumahan masyarakat Pelangai dapat dipenuhi secara menyeluruh, sekaligus membantu golongan yang memerlukan memiliki kediaman yang selesa,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, PPR merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang memberi impak besar dalam memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.
“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana dengan adanya inisiatif ini memberi ruang dan peluang kepada rakyat negeri ini memiliki rumah pada kadar harga berpatutan dengan kualiti yang terbaik,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

