Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 10 JANUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengutamakan kebajikan para atlet negeri ini tidak kira sama ada ia melibatkan tragedi atau musibah yang menimpa atlet mahupun keluarga mereka.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, selain memfokuskan kepada kejayaan dan kecemerlangan para atlet, faktor kebajikan juga sentiasa menjadi perhatian Kerajaan Negeri Pahang.
“Kebajikan atlet di Pahang turut menjadi keutamaan kita, dan saya sering berkongsi pandangan bersama atlet di media sosial, jadi bila ada kemalangan atau berita sedih, saya akan hadir.
“Kita tidak mahu aspek kecemerlangan semata-mata namun bila ada musibah, berdepan saat getir, kita hendak juga bersama (atlet) ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan tragedi menimpa atlet ragbi Pahang, Azri Syahiran Zaiful Afindi,17, yang kehilangan adiknya, Azri Fahmi Bahiudin,14, akibat lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Jerantut Feri pada 4 Januari lalu.
Beliau turut meluangkan masa melawat dan menyerahkan sumbangan kepada pelajar Sekolah Sukan Malaysia Gambang itu dan keluarganya di Taman Desa Indah yang turut dihadiri Pegawai Daerah Jerantut, YH. Dato’ Shahruddin Jali; dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Tuan Haji Zamri Hassan.
Pada lawatan tersebut juga, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang akan membantu Azri Syahiran yang ingin melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Dalam pertemuan tadi, dia ada berkongsi untuk menyambung pengajian di IPG untuk menjadi guru dan yang ada sukan ragbi.
“Jadi kita akan membantu untuk memilih IPG yang sesuai atas cadangan kerajaan negeri kerana rugi sekiranya bakatnya dilepaskan begitu sahaja,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan supaya Azri Syahiran dapat menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berbaki empat kertas dengan tenang dan tabah. -PAHANGMEDIA

