Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 JANUARI 2025 : Kesemua 191 menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa Satu telah sepenuhnya siap dibina di Negeri Pahang.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, daripada jumlah ini 144 menara telekomunikasi telah beroperasi sepenuhnya.

“Sebanyak 144 menara telah siap dan beroperasi sepenuhnya dan telah dinikmati aksesnya oleh masyarakat setempat manakala bakinya iaitu 47 menara lagi dalam proses untuk dirangkaikan.
“Dan saya nak semua menara di Pahang yang dah siap ini dirangkaikan dengan akses komunikasi selewatnya pada suku pertama tahun ini. Maknanya pada 1 April seharusnya semua menara ini dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pemuktamadan dan Penyerahan Tapak Jalinan Digital Negara (JENDELA) Negeri Pahang di Tapak Jendela Sungai Pandan.

Menurut beliau, inisiatif interim juga akan digunakan bagi memastikan kesemua menara telekomunikasi beroperasi sepenuhnya pada penghujung Mac ini.
“Andai kata ada masalah, untuk masuk kabel dan sebagainya, mungkin kawasan itu ada masalah, saya minta buat inisiatif interim, di mana kerjasama dengan Starlink. Pastikan beroperasi juga,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga telah meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) dan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk meluaskan capaian rangkaian 5G di negeri ini.

“Kita minta agar mempertimbangkan secara serius permintaan kerajaan negeri supaya wujud keseimbangan pembinaan struktur pemancar 5G di seluruh negeri.
“Sebab saya tengok taburannya tidak seimbang. Saya risau kalau daerah tertentu tidak mendapat manfaat seperti daerah lain. Ini boleh mempengaruhi pelabur misalnya.
“Jadi, saya dah nyatakan hasrat kepada DNB lihat secara terperinci taburan pembinaan struktur pemancar 5G ni khususnya di Raub, Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Bera dan Maran,” katanya. -PAHANGMEDIA

