Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 29 DISEMBER 2024 : Golongan muda diseru agar menjadi pelapis kepimpinan yang mampu meneruskan perjuangan delegasi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, pelapis baharu itu perlu memperbaharui tekad dan merangka strategi baharu demi memastikan tidak ada anak bangsa yang tercicir dari arus kemajuan.
Katanya, pelapis pimpinan baharu GPMS juga diingatkan agar tidak takut untuk berjuang demi kebenaran.
“Ingatlah, kejayaan tidak akan datang tanpa pengorbanan sepertimana para pemimpin GPMS yang terdahulu yang berjuang tanpa mengira penat lelah.Pemimpin GPMS ini juga perlu meneruskan perjuangan ini dengan semangat yang sama.

“Jadikan pendidikan sebagai kunci utama untuk membangunkan bangsa dan memanfaatkan teknologi sebagai alat untuk mencipta perubahan yang lebih besar,” katanya ketika berucap bersempena Majlis Makan Malam Jubli Intan GPMS kali ke 70 yang diadakan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di sini semalam.
Majlis turut dihadiri Presiden GPMS, Encik Muhd Fazreen Ismadi Fauzi, Pengerusi GPMS Negeri Pahang, Encik Wan Muhammad Hafizzul Wan Ismail, dan Timbalan pengarah KKTM Kuantan, Encik Wan Khairuddin Wan Sulong.
YB. Dato’ Sabariah selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar pahang juga berkata, GPMS turut diingatkan untuk memperkukuhkan kerjasama strategi dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperluaskan jalinan dan pengaruh di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.
Beliau dalam pada itu merakamkan ucapan tahniah atas segala pencapaian dan usaha yang telah dilakukan GPMS yang kini menjangkau usia 70 tahun.
“Kejayaan mereka dalam pelbagai bidang pendidikan, politik, ekonomi dan sosial menjadi bukti bahawa perjuangan GPMS membuahkan hasil yang membanggakan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

