Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 Disember 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan merasmikan Pasukan Keselamatan Kebakaran Istana (PKKI) Negeri Pahang di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, hari ini.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Ts Nor Hisham Mohammad, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli bin Yaacob serta Pengarah JBPM, Dato’ Ir Ts Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan penghargaan kepada pihak bomba yang sentiasa bersedia membantu masyarakat dalam setiap tragedi mahupun permasalahan yang memerlukan khidmat bakti mereka.
Paduka Baginda juga berharap agar penubuhan PKKI ini dapat melatih kakitangan dan keluarga di istana untuk turut bersedia menghadapi sebarang tragedi dan juga membantu orang lain yang memerlukan.
“Jadi dengan tertubuhnya komuniti bomba tadi saya dimaklumkan tadi lebih kurang di Pahang 224 dan melibatkan 2,000 lebih dan saya harap ini dapat dipertambahkan lagi, kita harap setiap taman-taman perumahan, kampung-kampung perlu ada sedikit sebanyak pengalaman dari segi membantu masyarakat dalam hal-hal kebakaran dan sebagainya.

“Ini boleh menyenangkan semua pihak, boleh membantu kerajaan dan untuk kita selamatkan nyawa-nyawa khususnya anak-anak dan orang-orang tua di persekitaran di Negeri Pahang khususnya di tepi-tepi Sungai Pahang dan saya sendiri memang akan main peranan dan InsyaaAllah anak-anak saya akan berada sekadar mana yang kita mampu.
“Dan dengan ini pihak istana juga harus membuat peranan masing-masing dan bantu mereka-mereka yang memerlukan bantuan,” titah baginda.
Pada majlis sama, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran Plak Memghapus Bahaya sebelum menyaksikan demonstrasi yang diadakan oleh PKKI dengan kerjasama pasukan bomba.
PKKI Negeri Pahang dinaungi oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Kehormat yang juga Setiausaha Sulit Khas KDPB Sultan Pahang, YH Tok Aria Rakna Ahmad Norbadelin Abdul Murad.
PKKI yang ketika ini mempunyai seramai 48 orang ahli diketuai oleh Pegawai Teknikal dan Aset Pjabat KDPB Sultan Pahang, Leftenan Kolonel Normizan Md Nor. -PAHANGMEDIA

