Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
KUANTAN, 24 SEPTEMBER 2024 : Penjawat awam di negeri ini ditekankan untuk mementingkan pembinaan karakter diri bagi meningkatkan prestasi dalam pekerjaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata penjawat awam juga perlu mencabar diri luar dari kebiasaan mereka.
“Selaku penjawat awam, kita tidak boleh kekal selesa pada satu tahap pencapaian sahaja. Kita perlu keluar daripada comfort zone masing-masing, dan perlu mencabar diri luar dari kebiasaan.
“Penjawat awam perlu memberi penekanan kepada character building, iaitu melalui penambahan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan juga mengamalkan nilai-nilai murni serta mengutamakan aspek integriti yang tinggi dalam menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang Tahun 2024 di Dewan Utama, Aras 5, Swiss-Belhotel.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH. Dato’ Dr. Mohd Zakaria Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut beliau majlis ini merupakan tanda Kerajaan Negeri Pahang menghargai dan mengiktiraf komitmen dan prestasi penjawat awam.
“Penganugerahan dan pengiktirafan yang diberikan ini sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pahang terhadap komitmen dan juga prestasi yang telah diberikan oleh warga kerja Pejabat SUK selama ini.
“Saya mengharapkan agar pengiktirafan yang diberikan mampu menyuntik semangat, mencetus inspirasi dan serta menjadi teladan kepada seluruh warga kerja Pejabat SUK Pahang ke arah pemantapan ekosistem prestasi kerja yang cemerlang.
“Kekalkan rentak cemerlang, jaga tingkah laku, dan teruskanlah mendokong usaha-saha kerajaan dengan penuh amanah dan tanggungjawap,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar segala usaha yang dilakukan oleh penjawat awam dan Kerajaan Negeri Pahang membawa keberkatan kepada rakyat negeri ini.
“Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati usaha kita dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negeri Pahang tercinta ini,” katanya.
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang Tahun 2024 bertemakan Kemuncak Tradisi Kecemerlangan meraikan 69 pegawai dan kakitangan pejabat SUK melibatkan 53 penerima APC bagi tahun 2023; seorang penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC); lapan pegawai yang akan dan telah bersara; dan tujuh pegawai yang telah berkhidmat lebih 25 tahun. -PAHANGMEDIA