Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
KUANTAN, 24 SEPTEMBER 2024 : Pelabuhan Kuantan menunjukkan perkembangan daripada segi perkhidmatannya berbanding sebelum ini.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penggunaan teknologi baharu ini juga dilihat dapat menjimatkan masa bagi urusan di pelabuhan.
“Ini merupakan lawatan kali kedua saya ke sini. Bezanya dulu saya datang ke pejabat, kita diberi taklimat sekadar on the surface sahaja. Tapi hari ini kita turun ke padang sendiri dengan menaiki bot dan kita dapat meninjau hampir seluruh kawasan.
“Dan nampaknya perkembangan Lembaga Pelabuhan Kuantan daripada semasa ke semasa dan aktivitinya pun semakin bertambah canggih.
“Kalau dulu ada guna manual untuk transfer bauksit contohnya, sekarang ini kita dah ada belt conveyor yang boleh menjimatkan kos, menjimatkan masa. Tiga hari sahaja boleh penuh kapal 55,000 metrik tan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke sekitar Pelabuhan Kuantan hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Pegawai Pelaburan Negeri Pahang, YH. Dato’ Kamarul Arifin Ahmad.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pihak Pelabuhan Kuantan di atas kemajuan yang dilakukan selain turut menyatakan terdapat perancangan bagi menaikkan pelabuhan ini pada masa hadapan.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Kuantan Port. Ada diberi taklimat kepada saya sebab perkara ini masih lagi dalam perancangan jadi saya tak boleh details kan lah. Biar Lembaga Pelabuhan Kuantan sendirilah. Sebab dia banyak bergantung kepada kedudukan kewangan dan sebagainya,” katanya. -PAHANGMEDIA