Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 SEPTEMBER 2024 : “Janganlah kita mendewa-dewakan atau taksub kepada mana-mana pemimpin, atau guru-guru, ataupun abuya-abuya, hentikan ini semua,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah supaya rakyat di negeri ini mengikuti ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, Al-Quran dan As-Sunnah.
“Dan saya berdoa Negeri Pahang ini, Islam akan berada di landasan yang betul. Kita tidak mahu adanya ajaran sesat dan salah bertapak di Negeri Pahang ini.
“Tuan-tuan dan puan-puan jadilah mata dan telinga kepada pemerintah khususnya kepada saya. Ikutlah landasan benar ajaran as sunnah wal jamaah, Quran dan sunnah semuanya.
“Janganlah kita mendewa-dewakan atau mentaksub kepada mana-mana pemimpin atau guru-guru ataupun abuya-abuya, hentikan ini semua. Hentikan semua ini,” titah baginda.
Paduka Baginda turut bertitah perkara berkaitan ajaran sesat yang berlaku ini dapat diselesaikan secara baik tanpa menganiaya atau mengaibkan mana-mana pihak.
“Saya hanya menunggu laporan polis keadaan. Saya dimaklum untuk berkongsi bersama sepanjang yang saya lalui, dan dimaklum di Pahang ini ada dulu satu ketika, 34 ajaran sesat ataupun salah. Alhamdulillah hari ini ada enam sahaja yang masih lagi aktif.
“Saya nak semua pergi lihat sendiri, siasat sendiri adakah ajaran ini baik atau tak baik. Yang sedih tu ada dua di Pekan, tempat saya lahir di situ. So saya minta pihak polis, pihak jabatan agama siasat ajaran-ajaran ini. InsyaAllah saya rasa ini dapat kita selesaikan dengan secara baik dan kita tidak mahu menganiayakan sesiapa atau pun mengaibkan sesiapa,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah dalam titah turut menzahirkan harapan tidak terlalu memuji baginda dalam mana-mana ucapan namun cukup sekadar memberikan baginda dan kerabat penghormatan sewajarnya.
“Saya harap juga dalam ucapan mana-mana pihak janganlah terlalu memuji saya. Saya tak berapa suka orang memuji saya. Cukup memberi penghormatan yang sewajarnya kepada saya, isteri saya, dan anak-anak saya. Saya nak menunaikan tanggungjawab saya dengan sempurna dan tak perlulah nak memuji sampai ke langit kerana saya bukan sifat begitu.
“Malahan kalau untuk makluman bersama sampai gelaran saya, saya tak pakai Yang Maha Mulia, saya pakai Paduka Baginda kerana saya tidak mahu di sanjung begitu tinggi tapi sekadar untuk mendapat penghormatan dan juga sayang daripada rakyat saya,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1446 Hijrah di Dewan Jubli Sultan Ahmad Shah.
Ketibaan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan isteri, YABhg. Datin Sri Diraja Dato’ Burhah Mohammed; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.-PAHANGMEDIA

