Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 SEPTEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah institusi pengajian agama seperti pondok dan madrasah di negeri ini menjadi contoh kepada pondok dan madrasah yang ada.
Paduka Baginda bertitah ia dapat dilaksanakan melalui pengaturan organisasi dan kurikulum memandangkan Pahang memiliki maahad tahfiz yang terbaik di negara ini.
“Saya berkehendakkan supaya Maahd Tahfiz Negeri Pahang ini akan menjadi satu catalyst, satu contoh yang mana boleh beri naungan kepada madrasah-madrasah yang lain.
“Supaya segala segi organisasinya, segi kurikulumnya, dapat diatur dengan sebaik mungkin kerana maahad tahfiz telah terbukti adalah satu institusi yang paling terbaik sekali di negara kita. Kenapa madrasah-madrasah lain tidak boleh mencontohi.

“Saya akui saya bangga mendengar pencapaian madrasah-madrasah Negeri Pahang, Kerajaan-kerajaan, tapi saya bimbang madrasah-madrasah yang lain tidak seiring dari segi pencapaian dengan maahad tahfiz negeri Pahang. Jadi inilah antara usaha kita dapat meningkatkan yang mana mempunyai masalah kita dapat memperbetulkan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah dalam titah turut menzahirkan hasrat bertemu dengan pengusaha madrasah di negeri ini bagi memastikan perjalanan setiap madrasah berjalan dengan baik dan betul.
“Antaranya usaha yang saya sedang berbincang dengan pelbagai pihak khususnya kerajaan yang saya cukup khuatir dan bimbang iaitu kedudukan pondok-pondok dan madrasah-madrasah Maahad Tahfiz yang ada di Negeri Pahang ini.
“Saya tidak pernah memberi arahan untuk menutup mana-mana madrasah, mana-mana maahad tahfiz tetapi ini tidak bermakna saya tidak mengambil perhatian dan saya bimbang bukan keseluruhannya tetapi ada juga madrasah, pondok-pondok yang saya amat malu untuk menyatakan keadaan dan perjalanannya yang tidak begitu sempurna. Saya tidak ingin mengaibkan mana-mana pihak.
“Saya telah menyatakan hasrat saya untuk berjumpa dengan setiap seorang operator-operator, pengusaha madrasah-madrasah ini supaya kita dapat satukan semula dengan jadikan madrasah dan pondok di Negeri Pahang ini benar-benar dalam keadaan yang baik dan betul perjalanannya. Sepertimana dinyatakan tadi Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang mana kita telah usahakan dengan anugerah Allah SWT telah berjalan dengan begitu baik sekali,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1446 Hijrah di Dewan Jubli Sultan Ahmad Shah.

Ketibaan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan isteri, YABhg. Datin Sri Diraja Dato’ Burhah Mohammed; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.-PAHANGMEDIA

