Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 JULAI 2024 : Seramai 650 mahasiswa Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerima sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) RM400 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM260,000.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan ini telah dinaikkan kepada RM400 berbanding tahun lalu sebanyak RM300 sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak Pahang yang melanjutkan pengajian ke menara gading.

“Sebenarnya YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail telah mengumumkan BPP Kluster Siswa 2024 di Dewan Negeri lalu ketika pembentangan Belanjawan Pahang yang lalu.
“Jumlah keseluruhan anak-anak pelajar Pahang yang terima Bantuan adalah Siswa 19,525 orang dan terdapat permohonan rayuan seramai 4,336,” katanya di sini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menambah jumlah bantuan BPP Kluster Siswa sebagai memenuhi keperluan pelajar dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini. – PAHANGMEDIA

