KUANTAN 10 JUN 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada kesemua keluarga yang terkorban di dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, Rompin dekat sini semalam.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dan dukacita dan berharap agar seluruh ahli keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wa Taala dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.
Bagaimanapun, Kebawah Duli Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana seramai 36 ahli rombongan yang terdiri daripada guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Melaka selamat dan hanya mengalami kecederaan serta mendoakan semoga mereka dikurniakan kesembuhan segera.
Dalam pada itu, Kebawah Duli Paduka Baginda menyarankan agar Kerajaan Persekutuan dapat membantu Kerajaan Negeri Pahang dengan segera untuk meninjau serta mengambil tindakan bagi menentukan tahap keselamatan jalan tersebut sentiasa berada pada tahap yang tinggi dan selamat bagi pengguna jalanraya.
Kemalangan perlu dielakkan di jalan raya terutama sekali apabila aliran trafik bertambah di musim perayaan, cuti persekolahan dan cuti umum. Justeru, satu tindakan pantas perlu diambil oleh semua pihak berwajib bagi mengelakkan ianya berulang kembali.
Dalam sama yang sama, pengguna juga perlu lebih berwaspada dengan memandu secara berhemah dan berhati-hati. Perlu diingatkan juga, pemandu mesti berada dalam keadaan yang sihat dan cukup rehat bagi mengelak hilang kawalan atau ‘microsleep’.
Ini kerana statistik daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima tahun lalu iaitu 2020 hingga kini di jalan berkenaan merekodkan sebanyak 65 kes kemalangan dengan 79 orang maut. Antara punca kemalangan yang dikenal pasti ialah letih, mengantuk dan kecuaian.
Oleh yang demikian, Kebawah Duli Paduka Baginda berpandangan jika semua perkara ini ditangani bersama di antara pihak berkuasa dan pengguna jalan raya ia bukan sahaja dapat memberi keselesaan, malah keselamatan penumpang dan pemandu akan lebih terjamin dan dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di jalan tersebut. – PAHANGMEDIA

