Oleh: Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 JUN 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) menyalurkan bantuan kira-kira RM30,000 kepada 44 atlet Pahang yang memperoleh A di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata bantuan ini merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap kejayaan dan pencapaian cemerlang para atlet di bawah MSP.
“Sebanyak RM200 pemberian insentif daripada Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Kerajaan Negeri Pahang kepada pelajar cemerlang SPM dan tambahan lagi RM100 kepada setiap bilangan A yang diraih.

“Usaha ini adalah untuk menggalakkan atlet-atlet Pahang memberi tumpuan kepada pencapaian akademik di sebalik tuntutan untuk terus berjaya dalam bidang sukan.
“Kurniaan sumbangan tunai hari ini kepada atlet-atlet adalah sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri Pahang atas pencapaian mereka yang cemerlang dalam bidang sukan dan akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian insentif kecemerlangan kepada 44 atlet Pahang di bawah Majlis Sukan Pahang di Hotel Grand Darul Makmur hari ini.
Menurut beliau, insentif yang masuk tahun kedua dijalankan ini diharap menjadi contoh dan pembakar semangat kepada para atlet yang masih belajar di negeri Pahang.
“Saya berharap penerima insentif dapat menjadi contoh kepada atlet-atlet yang lain di seluruh Negeri Pahang sebagai tanda kesungguhan mereka untuk mencapai kejayaan dalam kedua-dua bidang akademik dan sukan.
“Selaku Exco yang bertanggungjawab kepada bidang sukan, saya sangat gembira dapat berjumpa dengan mereka dan menzahirkan penghargaan khusus daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya mendoakan mereka sukses dalam bidang yang diceburi selepas ini dan saya juga berharap mereka terus aktif dalam bidang sukan dan dapat menyumbang pingat kepada Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

