Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 JUN 2024 : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah selamat menjalani prosedur pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik YAB. Menteri Besar Pahang, YBhg. Encik Mohd Farid Mohd Nor, prosedur pembedahan berjalan lancar.
“Berkat doa, solat hajat, bacaan Yassin dan ucap selamat semua pihak, prosedur pembedahan YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang di Institut Jantung Negara (IJN) telah selesai dan berjalan lancar.
“YAB Menteri Besar kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi IJN untuk pemantauan pasukan perubatan beliau bagi tempoh 24 jam.
“Pihak keluarga YAB Menteri Besar menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, kenyataan tersebut turut melahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan IJN dan semua pihak yang mendoakan keadaan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy.
“Ucapan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan juga kepada Pasukan Perubatan IJN dan semua pihak yang mendoakan kesembuhan dan keafiatan YAB Menteri Besar,” katanya.
Semalam, YAB. Menteri Besar Pahang mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan rawatan beliau di IJN yang bermula hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan oleh doktor kelak. -PAHANGMEDIA

