Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 7 JUN 2024 : Penyampaian insentif RM1,000 seorang kepada pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) oleh Kerajaan Pahang memberikan keterujaan dan kegembiraan kepada seramai 670 orang penerima.
Bagi seorang pelajar, Harshini Kumara Vell, 19, berkata, dia sangat gembira dan teruja untuk menerima insentif yang disediakan kepada pelajar cemerlang yang dapat digunakan apabila memasuki universiti nanti.

Dia yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman Bentong berjaya memperoleh 10A pada SPM 2022 lalu dan baru sahaja menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Gambang.
Harshini menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Pahang kepada semua pelajar cemerlang SPM dan STPM.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih sebab memberikan insentif kepad semua pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang, saya rasa ini akan membuatkan pelajar Pahang yang lain untuk mencuba sebaik mungkin,” katanya.
Manakala rakannya, Kam Pui Shan, 19, yang juga memperoleh keputusan cemerlang SPM dengan pencapaian 9A turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Pahang.

“Terima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana memberikan insentif, saya ingin gunakan untuk memasuki universiti dan guna untuk pembelajaranlah,” katanya.
Dia yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik bercita-cita untuk menjadi seorang Jurutera Kimia.
Sementara itu, pelajar Diploma Sains Komputer dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) MARA Cawangan Raub, Muhammad Mukhriz Mustafa, 19, turut berterima kasih kepada Kerajaan Pahang dan bercadang untuk memanfaatkan insentif yang diterima bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang sama.

“Terima kasih kepada kerajaan dan duit ini saya rasa saya simpan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah sebab sekarang sedang sambung diploma,” katanya.
Pada majlis itu, YAB Menteri Besar Pahang telah diwakili Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak untuk menyampaikan Insentif Pencapaian SPM dan STPM kepada seramai 670 penerima di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kuantan.
Selain insentif kepada pelajar, Kerajaan Pahang turut memberikan sumbangan kepada sekolah-sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang dengan jumlah keseluruhan sumbangan pelajar dan sekolah berjumlah RM811,000.
Hadir sama ialah YB Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, Tuan Lee Chin Chen, Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Encik Amzan Abdul Malek dan Ketua-Ketua Jabatan. – PAHANGMEDIA

