Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 27 MEI 2024 : Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) berjaya mencatatkan 1.07 Gred Purata Sekolah (GPS) pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023.
Manakala, seramai 23 calon daripada 56 calon berdaftar pula berjaya memperoleh keputusan A+, A dan A-.
Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Encik Amzan Abd Malek berkata, MTNP juga merekodkan sebanyak 100 peratus Layak Sijil (LS) apabila kesemua calonnya berjaya memperoleh sijil masing-masing.
“Tahniah kerana sekolah ini juga menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan di Negeri Pahang,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di Jabatan Pelajaran Negeri Pahang di Kuantan, pagi tadi.
Selain itu, Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) pula berjaya memperoleh 99.59 peratus LS daripada kesemua 1,231 calon SPM Tahun 2023 di SMAN yang melibatkan sebanyak 18 pusat peperiksaan.
Manakala lima sekolah yang berjaya mencapai GPS terbaik ialah Sekolah Menegah Agama (SMA) Chenor di Maran, Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar dan SMA Tengku Ampuan Fatimah di Pekan, SMA Al-Ulum Addiniah serta Raub dan SMA Al-Khairiah di Temerloh.
Seramai 11 calon dari SMAN berjaya memperoleh keputusan cemerlang sekurang-kurangnya A.
Selain calon SPM dari SMAN, calon murid Orang Asli dan Calon Berkeperluan Khas (CBPK) juga menunjukkan kecemerlangan dengan seramai 41 calon Orang Asli berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 5A dan bagi calon CBPK pula seramai 11 calon berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 5A.
Pahang berjaya mencatatkan seramai 517 calon SPM 2023 yang mendapat keputusan cemerlang semua A berbanding 405 calon pada tahun 2022. – PAHANGMEDIA

