Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 27 MEI 2024: Pahang berjaya mencatatkan peningkatan prestasi cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan seramai 517 (3.08 peratus) calon berjaya memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil.
Pengarah Pendidikan Pahang, YBrs Encik Amzan Abd Malek berkata, seramai 20,272 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM pada 2023 melibatkan pelbagai kategori calon dari sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekolah-sekolah yang dikelola dan dikawal oleh agensi lain dan kategori calon persendirian.
“Daripada jumlah tersebut, 16,782 calon hadir menduduki peperiksaan. Seramai 517 calon (3.08 peratus) berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, berbanding 405 calon (2.43 peratus) pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 112 calon (0.65 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 yang diadakan di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang di Kuantan, pagi tadi.
Selain itu, beliau berkata, pada keseluruhannya keputusan SPM 2023 bagi calon-calon sekolah-sekolah di Negeri Pahang telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang, terutamanya dari segi kualiti calon.
Lebih menggembirakan, seramai empat calon telah memperoleh keputusan semua A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, menunjukkan peningkatan seramai 112 calon (0.66 peratus) dalam kategori cemerlang. Kejayaan ini memperlihatkan keberkesanan sistem pentaksiran pendidikan yang mantap dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih dan komitmen tinggi dari semua pihak yang terlibat.
“Keputusan SPM tahun ini menunjukkan peningkatan yang membanggakan. Ia adalah hasil kerjasama dan dedikasi semua pihak, termasuk guru-guru, ibu bapa, dan calon sendiri.
“Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada pihak Pejabat Menteri Besar di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail Menteri Besar Pahang, Yayasan Pahang, PIBKS, serta badan-badan berkanun yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membantu kecemerlangan pendidikan di Negeri Pahang,” katanya.
Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2023 boleh diakses menerusi portal Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my. -PAHANGMEDIA

