Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najmuddin Zahid
BENTONG, 20 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan mengambil tindakan tegas kepada premis yang menjalankan aktiviti memproses bahan tinja ayam di Karak Jaya sehingga mendatangkan gangguan lalat di kawasan Taman Perumahan Makmur Lakeview Karak Jaya.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata Kerajaan Negeri Pahang mengambil berat mengenai keselesaan rakyat di negeri ini dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan yang dilihat mengganggu ketenteraman.
“Saya diminta oleh YAB Menteri Besar untuk menyampaikan mesej bahawa Kerajaan Negeri sangat nak membantu rakyat untuk memberikan keselesaan hidup dan tidak berkompromi kepada mereka yang melakukan kesalahan.
“Kita akan bertindak tegas mengikut klausa dan akta yang terdapat di bawah PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), di mana sekiranya didapati perlu, kita boleh merobohkan bangunan (premis) berkenaan.
“Dan sementara menunggu akta serta laporan khusus daripada agensi terlibat untuk kita tutup secara terus (premis terlibat), kita mohon kerjasama daripada penduduk untuk membantu dengan memberitahu pihak berkuasa untuk sekat sebarang aktiviti daripada berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media berkenaan isu gangguan lalat di kawasan Taman Perumahan Makmur Lakeview Karak Jaya di sini yang turut dihadiri ADUN Sabai, YB. Tuan V. Arumugam.
Tambah beliau lagi, premis berkenaan juga difahamkan telah di kompaun sebanyak dua kali dalam tempoh setahun berkaitan perkara ini.
“Kita telah mengambil tindakan tutup (operasi) ini sebanyak dua kali serta mereka juga telah dikompaun sebanyak RM250 dan kemudiannya dikompaun buat kali kedua sebanyak RM10,000,” katanya.
Menurut beliau, pihak kesihatan dan juga pihak pemilik premis juga akan membuat semburan bagi menghalau lalat di kawasan berkenaan secara berkala. -PAHANGMEDIA

