Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
PELABUHAN KLANG, 20 MEI 2024 : Pahang merupakan negeri pertama dalam Malaysia yang melancarkan misi bantuan kemanusiaan dari Pahang terus ke Gaza untuk rakyat Palestin.
Timbalan Presiden Sekretariat Pahang4Palestine, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, Kerajaan Negeri Pahang melalui tabung Pahang4Palestin telah berjaya mengutip sumbangan 1.6 juta dan sumbangan tersebut diterjemahkan kepada bentuk barangan kemanusiaan yang akan disampaikan terus ke Gaza.
“Ini adalah kali kedua Pahang menyalurkan bantuan, kalau dulu kutipannya RM 700,000. Kali ini berganda lebih kepada RM1.6 juta.
“Ini menunjukkan komitmen rakyat Pahang dan juga solidariti sukarelawan-sukarelawan dan juga NGO-NGO dari Pahang untuk membantu sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin yang ditindas dan dianiaya oleh pihak israel,” katanya ketika ditemui hari ini.
Majlis Pelancaran Program ‘Gaza Aid Delivery’: Misi Bantuan Kemanusiaan dari Pahang ke Gaza ini disempurnakan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, YB Tuan Fadzli yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang turut menyeru agar rakyat Pahang terus mengambil kesempatan untuk menyumbang ke tabung ini kerana Tabung Pahang4Palestin ini akan terus dibuka bagi membantu rakyat Palestin.
Sementara itu, Setiausaha Sekretariat Pahang4Palestine, Puan Siti Nurul Hidayah Ishak turut memaklumkan bahawa pelepasan barangan bantuan daripada Pahang ke Gaza hari ini berjaya disempurnakan dengan begitu baik sekali dengan kehadiran daripada wakil kementerian luar negeri.
“Hari ini dengan kehadiran daripada wakil kedutaan kementerian luar negeri mengesahkan jaminan sampai bantuan kemanusian tersebut di Palestin.
“Barangan yang kita hantar, pertama kita hantar makanan segera (retort) yang berasaskan nasi arab dan juga nasi kambing beserta ubat-ubatan, selimut dan toto,” katanya. -PAHANGMEDIA

