Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
PELABUHAN KLANG, 20 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menerusi Sekretariat Pahang4Palestine dengan kerjasama Ops Ihsan menghantar 30 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza, hari ini.
Bantuan barangan seperti pek makanan (retort), selimut dan juga ubat-ubatan dihantar bermula 1 Jun ini menerusi jalan laut (kapal) yang akan bergerak dari Pelabuhan Klang dan dijangka tiba di Pelabuhan Said, Mesir pada 4 Julai.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan dengan kerjasama Ops Ihsan ini dilakukan di atas dasar pengalaman dalam menyalurkan bantuan dan mereka juga telah beberapa kali menyertai misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin melalui pesawat dan juga kapal kargo khususnya.

“Majlis pada hari ini merupakan penzahiran solidariti dan simpati seluruh rakyat Pahang atas nasib yang menimpa rakyat Palestin.
“Atas sumbangan kepada tabung Pahang4Palestine, saya selaku Pengerusi Sekretariat Pahang4Palestine mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada para penderma semua,.
“Saya memberi jaminan bahawa setiap sen yang disumbangkan ke tabung ini akan kita salurkan terus kepada saudara kita di Gaza. Insya-Allah, tabung ini kita tidak akan tutup, dan mana-mana pihak yang berhasrat untuk terus menyumbang kita alu-alukan untuk berbuat demikian.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Flag-Off Barang Bantuan Kemanusiaan Dari Pahang Ke Gaza di NYD Marketing, Pelabuhan Klang, hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Sekretariat Pahang4Palestine, YB Tuan Fadzli Mohd Kamal, Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan, Encik Jismi Johari, Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negeri, YB Ambassador Mohamad Radzan Jamil.
Turut hadir, Duta Besar Republik Mesir ke Malaysia, TYT Ragai Tawfik Said Nasir, Duta Besar Palestin ke Malaysia, TYT Walid Abu Ali, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil inisiatif dengan menggerakkan tabung Pahang4Palestine yang telah dilancarkan menerusi Himpunan Solidariti Pahang4Palestine dengan disertai lebih 10,000 penduduk di Pahang yang diadakan di Kuantan pada 28 Oktober tahun lalu.
“Alhamdulillah, kita menerima sambutan yang cukup baik daripada rakyat Pahang di mana sehingga hari ini sebanyak RM1.602 juta ringgit telah berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak seperti daripada jabatan dan agansi kerajaan, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan.
“Untuk makluman, misi kemanusiaan ini merupakan kali kedua yang kita buat penghantaran kepada rakyat Palestin, di mana kali pertama kita telah menyalurkan wang tunai RM700,000 menerusi Kempen Dana Tabung Pahang For Palestine dan Pelancaran Projek Rakyat Pahang di Bumi Gaza pada tahun 2021, di mana sumbangan itu digunakan untuk membaik pulih masjid dan sekolah yang musnah dalam serangan yang dilakukan oleh Israel,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyatakan rasa bangga kerana Negeri Pahang menjadi negeri pertama yang menjalankan inisiatif mengutip dan menghantar sendiri barangan ke bumi Palestin khususnya di Gaza.
“Tahniah saya ucapkan kepada Sekretariat Pahang4Palestine di atas kejayaan ini dan besar harapannya rakyat di sana (Palestine) akan menerima sumbangan yang disalurkan khususnya oleh rakyat Pahang kepada mereka . -PAHANGMEDIA

