Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 19 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza sebanyak RM1.575 juta menggunakan kapal di Pelabuhan Klang esok.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pelepasan kapal yang membawa barangan seperti tilam, selimut, pek makanan, dan ubat-ubatan dijangka dilakukan pada 11 pagi.
“Saya akan melepaskan bantuan dalam bentuk in-kind, material kepada saudara kita di Gaza yang ditindas, dizalimi oleh rejim Israel.

“Kita dapat kutipan sumbangan sebanyak RM1.575 juta daripada penderma kebanyakannya anak Pahang dan saya berjanji setiap satu sen yang kita dapat itu saya akan pastikan sampai ke bumi Gaza.
“Dan untuk tujuan itu, esok saya akan melepaskan kapal dan saya harap kapal dapat sampai mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Kampung Kuala Telang di sini hari ini.
Beliau berkata, kutipan melalui tahung Pahang4Palestine ini masih di buka dan Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak.

“Kita masih mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak sama ada individu, organisasi untuk bagi sumbangan dan kita akan sampaikan kepada penduduk Gaza. Dan apa yang kita laksanakan ini, kita buat melalui Wisma Kementerian Luar Negara.
“Tabung masih di buka dan setakat hari ini diuruskan dengan baik. Kita tak buat duit (sumbangan) tu untuk beli jongkong emas dulu ke, kita tak buat macam tu. Kita pastikan ianya dijaga dengan baik dan setiap sen itu kita akan pastikan sampai ke bumi Gaza.
“Penghantaran bantuan kita tengok keadaan, kalau dah banyak (terkumpul) baru kita hantar. Kena berbaloi, takkan RM200 RM300 pun kita beli barang nak hantar. Macam esok, kita isi satu kapal (bernilai) hampir RM1.6 juta, kita beli barang banyak, kita hantar,” katanya.
Beliau turut meminta rakyat Malaysia khususnya yang beragama islam supaya terus berdoa supaya peperangan dan keganasan yang berlaku di Palestin dapat dihenti dan ditamatkan. -PAHANGMEDIA

