Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 MEI 2024 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM2.734 juta bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M yang akan berlangsung pada 23-28 Mei depan di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu termasuklah sumbangan sebanyak RM110,000 kepada kesemua 110 peserta majlis berprestij itu.
“Ini merupakan amalan kita di Pahang…ini sebagai tanda ingatan Kerajaan Negeri sebagai duit poket kerana datang ke Pahang. Yang pentingnya ini adalah sebagai tanda ingatan tulus ikhlas Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M di Hotel SwissBel, Kuantan.
Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua-Ketua Jabatan.
Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan akan disertai seramai 110 peserta terdiri daripada 29 peserta tilawah (15 qariah dan 14 qari) dan 81 peserta hafazan bagi tiga kategori.

Menurut YB. Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im, penyertaan di kalangan golongan belia adalah lebih ramai pada tahun ini berbanding 2023.
Kesemua peserta berumur antara 14 hingga 25 tahun yang turut disertai dua pasangan adik beradik bagi kategori hafazan Al-Quran dari negeri Kedah dan Pahang.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan Majlis Tilawah dan Hafazan Peringkat Kebangsaan pada 23-28 Mei ini di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan bermula jam 9 pagi hingga 11 malam.
Majlis Tilawah dan Hafazan Peringkat Kebangsaan akan bersiaran secara langsung menerusi saluran TV1 RTM, TV Alhijrah, stesen radio RTM, radio IKIM FM, Web TV JAKIM (www.jakim.tv) dan akaun-akaun media sosial rasmi JAKIM. – PAHANGMEDIA

