Oleh: Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 25 APRIL 2024 : Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.2 juta bagi pembelian Al-Quran Braille untuk membantu golongan OKU penglihatan membaca Al-Quran.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, peruntukan ini bertujuan untuk pembelian al-Quran E-Braille dan penganjuran latihan yang bersesuaian dengan Program Pelancaran Projek Celik Al-Quran Bagi OKU Penglihatan.
“Memang diakui, kita kekurangan pakar untuk memberikan khidmat pengajaran agama terutamanya Al-Quran kepada golongan ini.
“Saya difahamkan pada masa ini, hanya ada seorang guru Al-Quran Braille yang mengendalikan Kelas Pengajian Al-Quran Braille di Temerloh.
“Jumlah ini semestinya tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan pembelajaran Al-Quran dalam kalangan OKU penglihatan khususnya di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika Majlis Pelancaran Projek Celik Al-Quran Bagi OKU Penglihatan Peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Makmur, Kuantan, pagi tadi.
Turut hadir ialah Naib Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Profesor Dato’ Dr Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, YBhg. Encik Khairul Amri Ahmad, Timbalan Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Badli Shah Haji Alauddin, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Negeri Pahang, YH. Dato’ Halidan dan ketua-ketua jabatan.
Di Pahang, seramai 59,072 orang dikategorikan sebagai OKU penglihatan meliputi seramai 37,582 lelaki dan selebihnya iaitu 21,490 orang adalah perempuan.
Katanya, jumlah keseluruhan OKU penglihatan yang berdaftar ini bersamaan dengan kira-kira 0.17 peratus daripada populasi rakyat Malaysia. -PAHANGMEDIA

