Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 APRIL 2024 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga dengan pengagihan dana sebanyak RM1.8 juta oleh Yayasan UMPSA.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang menzahirkan ia disebabkan dana ini digunakan bagi tujuan kebajikan dan pembangunan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
“Saya juga rasa bangga apabila Yayasan UMPSA telah bersetuju untuk mengagihkan dana sebanyak RM1.8 juta bagi tujuan kebajikan dan pembangunan mahasiswa tahun 2024.
“Dana ini akan menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan sokongan kepada pelajar, memastikan kebajikan mereka, serta memperluaskan peluang pembangunan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan kelestarian kemahiran,” titah baginda.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah demikian pada Majlis Berbuka Puasa Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Bersama-sama Warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah di Perkarangan Masjid UMPSA Gambang.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang turut menyeru semua pihak termasuk badan korporat untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan UMPSA.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua pihak, termasuk badan korporat dan agensi berkaitan untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan universiti dalam memperkasakan Yayasan UMPSA.
“Dengan kolaborasi yang mantap, kita dapat memastikan bahawa lebih ramai pelajar dan komuniti menerima manfaat yang optimum daripada program yang ditawarkan oleh Yayasan.
“Semoga agenda kebajikan dan kemenjadian mahasiswa ini terus diberi perhatian di kepimpinan Dato’ Naib Canselor UMPSA,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

