Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhafizan
KUANTAN, 29 MAC 2024 : Semua mahasiswa di negeri ini merupakan aset bagi Kerajaan Negeri Pahang dalam membentuk negeri maju pada masa hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata negeri ini memerlukan anak-anak ini bagi melaksanakan tindakan pembangunan bersama.
“Mahasiswa mahasiswi ini adalah golongan bijak pandai daripada segi akademik, jadi kita harus gunakan kebijaksanaan mereka, kepandaian mereka itu, untuk membantu Kerajaan Negeri.
“Bila ada sokongan, bantuan daripada mereka yang cerdik pandai ini akan ada sinergi untuk Kerajaan Negeri dan ia boleh mempercepatkan proses pembangunan di negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Anak Pahang Bersama YAB. Menteri Besar Pahang di Perkarangan Rumah Pahang, Yayasan Pahang.
Turut hadir, hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah Seketeriat Mahasiswa Pahang, YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Bawani.
Menurut beliau, mahasiswa anak Pahang juga merupakan ejen kepada negeri ini dalam menyampaikan kelebihan dan pencapaian Pahang kepada masyarakat luar.
“Mereka boleh menjadi ejen untuk Negeri Pahang. Contohnya mereka boleh kempen untuk orang datang melawat ke Negeri Pahang, karenah birokrasi sangat minima, dan Negeri Pahang ini semua ada, ada pulau, bukit yang cantik, makanan sedap,” katanya.
Menurut YH. Dato’ Sri Hajah Shahaniza, Seketeriat Mahasiswa Pahang ini bagi membantu mahasiswa negeri ini untuk membuka minda mereka berkenaan apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
“…supaya saya dapat membimbing mereka dan membuka minda mereka supaya mereka merasa bangga menjadi anak Pahang dan supaya mereka sedar yang mereka memang aset kepada Negeri Pahang.
“Dan kita tahu walaupun mereka ini golongan terpelajar tetapi ada juga orang yang cemerlang akademik tetapi tidak bijaksana dalam membuat penilaian,” katanya.
Seramai hampir 800 mahasiswa terdiri daripada 115 orang wakil kepimpinan tertinggi MAMPAN di setiap Institut Pengajian Tinggi (IPT) hadir pada majlis yang dianjurkan oleh Yayasan Pahang bagi merapatkan hubungan antara pemimpin dan juga mahasiswa anak Pahang. -PAHANGMEDIA

