Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 MAC 2024: Kerajaan Negeri bersedia untuk menyediakan tanah kepada agensi yang berpotensi dalam usaha memperluaskan industri keterjaminan makanan di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, susulan itu Kerajaan Negeri lebih cenderung untuk bekerjasama dengan agensi berbanding individu bagi membangunkan tanah kerana ia terbukti lebih berjaya.
Beliau memberi contoh dengan merujuk kepada Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) yang terbukti berjaya mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di negeri ini.

“Maknanya, kalau kita ada tanah, kita akan bagi pada agensi seperti PASFA, (kerana mereka) boleh mengusahakan tanah tersebut.
“Kita tidak mahu bukan agensi, sebab kalau bagi individu dan dia tidak usahakan, ia rugi. Macam PASFA ia akan usahakan, kalau tanam sawit boleh eksport sawit atau getah atau tanaman (lain),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Dividen Ladang Usaha Sama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong kepada Peserta e-Kasih di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PASFA, Dato’ Haji Zamri Yaakob, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali Kassim.
Seramai 336 orang peserta Projek Ladang Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong menerima dividen sebanyak RM5,306 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan pembayaran berjumlah RM1.782 juta.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menjelaskan bahawa tanah yang diberikan perlu diusahakan sebaik mungkin agar ia memberi pulangan hasil semula kepada Kerajaan Negeri.
Oleh itu katanya, pemilihan agensi yang sesuai dan berkemampuan adalah penting bagi mereka menerokai sumber tanah kerajaan yang terhad untuk diusahakan sehabis baik.
“Ada tanah tidak diusahakan, tapi, PASFA ‘deliver’ jadi, kita tidak ragu-ragu memberikan kepada mereka (tanah) dan manfaat balik diperolehi semula oleh Kerajaan Pahang.
“Kena pelbagaikan pertanian..’don’t put all in one basket, bila jatuh habis pecah semua,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Haji Zamri menzahirkan rasa syukur dan bangga kerana PASFA dapat menyumbang RM2,574 juta sebagai bayaran kepada Kerajaan Pahang.
Jelasnya, bayaran ini hasil usahasama
Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan kelapa Sawit PPRT Bukit Gayong, Muadzam Shah, di Rompin.
“Untuk projek usahasama ini, kita telah menanam kelapa sawit seluas 1.47 hektar dan ditambah pula dengan ternakan lembu fidlot sebanyak 287 ekor.
“Kedua projek ini mendatangkan hasil sangat baik kepada ladang PPRT. Pendapatan daripada kedua-dua projek itu mampu berdaya saing dengan ladang-ladang disekitarnya,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

