Oleh : Fairus Mohd & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
RAUB, 28 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan merasmikan Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur tahun 2024 di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai), YH. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed serta Exco Kebajikan Masyarakat , Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.

Baginda turut berkenan meluangkan waktu membaca kalam suci itu bersama-sama para peserta dalam majlis tersebut.
Kira-kira 1500 orang wanita hadir mengimarahkan majlis berkenaan yang diadakan bersempena sambutan hari Nuzul Al-Quran hari ini.
Bacaan tadarus Al-Quran oleh beberapa kumpulan bersama baginda yang bermula jam 10.50 pagi selesai kira-kira jam 12.30 tengahari.
Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada 30 orang anak yatim.
Sementara itu, YB. Dato’ Sabariah Saidan juga berkesempatan menyeru golongan wanita untuk bersama-sama melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan antaranya ialah dengan menyertai program persatuan, melibatkan diri dalam kejiranan, dan sebagainya. – PAHANGMEDIA

