Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya pihak kerajaan dan pengurusan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menjaga hospital dengan baik.
Baginda dalam titah turut meminta petugas hospital untuk merawat pesakit sebaik mungkin serta ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Hospital ini sangat dekat di hati saya dan keluarga saya, kita semua dah berapa kali di rawat di hospital ini sejak daripada kecil lagi. Kakitangan hospital bagus sangat kepada keluarga saya.

“Saya juga ingin memberi nasihat kepada semua warga hospital, kepada pihak-pihak kerajaan, tolonglah jaga hospital ini sebaik-baiknya, tolong jaga orang sakit betul-betul, khususnya kepada nurse dan doktor, tolonglah ikhlas bila buat kerja, tanggungjawab. Dan kalau ada apa-apa masalah hospital tolonglah report kepada kerajaan,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kerusi Menunggu kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Lobi Makmur, HTAA.
Mengiringi keberangkatan baginda, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin dan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser
Ibrahim Shah.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir. Razali Kassim; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Baginda telah berkenan mengurniakan 120 set kerusi menunggu baharu yang mempunyai 640 buah kerusi keseluruhan bagi menggantikan kerusi yang telah rosak dan juga tambahan untuk keselesaan pesakit yang menunggu giliran di HTAA yang merupakan tempat keputeraan baginda.
Baginda turut bercemar duli meluangkan masa hampir satu jam menyantuni pesakit di wad kecemasan, wad kanak-kanak, dan wad pesakit dewasa. -PAHANGMEDIA

