Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Fadhil Roslizan (PMD)
RAUB, 25 MAC 2024 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberi tumpuan terhadap setiap golongan yang bertungkus lumus membantu perkembangan dan kemajuan negeri dari semasa ke semasa.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, perhatian sama turut diberikan kepada golongan agamawan di negeri ini termasuk imam, bilal dan siak di masjid dan surau.
“Banyak bentuk penghargaan kita bagi dan hari ini kita sampaikan sumbangan Aidilfitri sebagai tanda ingatan, penghargaan serta mengiktiraf semangat para imam bilal dan siak dalam menegakkan Syiar Islam.
“Sesungguhnya besar jasa pengorbanan yang mereka curahkan untuk agama dan bangsa dan sumbangan ini adalah sebagai tanda ingatan sempena ketibaan Aidilfitri nanti.
“Sumbangan ini adalah kali kedua dilaksanakan selepas kali pertama pada tahun lalu, Alhamdulillah Kerajaan Negeri Pahang punya pendapatan dan hasil ekonomi yang cukup baik, jadi manfaatnya boleh disalur terus kepada rakyat termasuk pada golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Khas Aidilfitri Kerajaan Negeri Pahang kepada imam, bilal dan siak daerah Raub di Masjid Sultan Abu Bakar hari ini.
Seramai 90 orang imam, 71 orang bilal dan 76 orang siak menerima bantuan berkenaan yang turut bertujuan untuk meringankan beban mereka sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Puan Zanariahtul Saadiah Yatim dan Kadi Daerah Raub, Encik Muhamad Amin Abd Mutalib.
Dalam pada itu YB Tuan Fadzli turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri kerana telah meluluskan Bantuan Khas Aidilfitri dengan jumlah keseluruhan peruntukan adalah RM788,900 bagi imam, bilal dan siak seluruh Negeri Pahang.
“Pada tahun ini sahaja Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM160 juta untuk pembangunan Syiar Islam di negeri ini termasuk menyediakan bantuan kepada anak-anak di negeri ini dari tadika tahfiz sehinggalah ke universiti.
“Kita bakal hantar pula pelajar dalam bidang Sains Teknologi Kejuruteraan dan Mekanikal untuk mendapat pendidikan antaranya ke Mesir dan Morocco pada tahun depan,” katanya.
Menurutnya, ia adalah antara pendekatan-pendekatan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dari peringkat tadika lagi sehinggalah sampai ke menara gading seterusnya memastikan Syiar Islam di negeri ini sentiasa terbela dan melahirkan lebih ramai lagi insan yang beriman, berpendidikan dan berkemahiran tinggi. -PAHANGMEDIA

