Oleh: Fairus Mohd & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto: Radin Mohd Norhilmi Nordin
MARAN, 04 MAC 2024 : Ekspedisi Mahkota, Mudik Sungai Pahang mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat yang berpeluang melihat dan melambai di sepanjang tebing Sungai Pahang serta menyertai acara yang disediakan di setiap hentian.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, ekspedisi ini juga dilihat menjadi ruang kepada Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyelami dan memahami permasalahan rakyat setempat.
“Baginda amat prihatin terhadap keperluan dan kehendak rakyat, walau penat tuanku tetap ceria melayani dan menyantuni rakyat.
“Tekad dan keupayaan tuanku cukup hebat, dalam merasai sendiri kehidupan rakyat kerana baginda sanggup keluar dari keselesaan baginda yang jarang sekali seorang putera raja sanggup buat,” katanya ketika ditemui media di sini
Dalam pada itu bercerita mengenai cabaran sepanjang dua hari ekspedisi, YB Tuan Fadzli berkata, tempoh masa yang dijangka tidak seperti yang telah dijadualkan.
“Jarak sebenarnya melebihi masa yang dijadualkan, antaranya terpaksa ubah haluan bagi mengelakkan bot sangkut di beting pasir.
“Masa dan cuaca yang menjadi cabaran kepada ekspedisi menyebabkan keterbatasan tempat untuk tuanku kunjungi,” tambahnya.
Sementara itu katanya, sepanjang dua haru ekspedisi, tuanku sentiasa berkongsi pandangan dan ilham malah bercerita, berkongsi ilmu tentang haiwan seperti gajah, harimau dan pokok serta sejarah tempat.
“Baginda banyak menyingkap kehebatan orang dahulu yang berhubung melalui laluan sungai dan darat serta berbual mengenai ilmu orang lama contohnya bagaimana mereka menundukkan gajah,” katanya.
Katanya lagi, baginda berhasrat membukukan sejarah sepanjang perjalanan di setiap lokasi.
Baginda juga mengarahkan agar mencari orang tua terdahulu yang masih ada serta bekerjasama dengan pihak muzium untuk mendapatkan lagi maklumat berkenaan sejarah berkaitan.
Ekspedisi sebelum itu tiba di Jeti Kuala Triang pada pukul 3 petang dimana Tengku Hassanal berkenan singgah ke Sekolah Kebangsaan Kuala Triang untuk majlis santapan serta melihat acara kenduri dan sukan rakyat.
Pada hentian berkenaan juga baginda disajikan dengan persembahan silat dan gendang pahang sebelum meneruskan ekspedisi ke bandar Bera yang menjadi tempat baginda bersemayam malam ini.
Dalam kesempatan sama juga, YB Tuan Fadzli mengajak orang ramai khususnya penduduk setempat di daerah Temerloh dan Jerantut untuk mengikuti ekspedisi pada hari esok.
“Ambillah peluang ini untuk berkhemah bersama baginda di Kampung Gintong, Jerantut. Aokme semua jangan lepaskan peluang keemasan ini,” tambahnya lagi. -PAHANGMEDIA

