Oleh : Fairus Mohd & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
BERA, 4 MAC 2024 – Persinggahan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang diketuai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Kuala Bera hari ini turut memberi keceriaan kepada golongan asnaf di sini.
Bagi Encik Salim Mohamad, 68, yang tinggal seorang diri di rumahnya tanpa pekerjaan, mengucap syukur dan berterima kasih atas kehadiran baginda yang memberikan sumbangan tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada tuanku kerana sudi menjenguk keadaan diri saya dan penduduk asnaf yang lain,” katanya.
Seorang lagi penerima sumbangan, Puan Shahzalina Abdul Jali, 52, juga menganggap kehadiran baginda di rumahnya adalah suatu pengalaman yang menyentuh hati untuknya.

“Saya terharu sebab bukan mudah untuk baginda turun ke sini bagi bertemu dengan rakyat,” katanya.
Baginda juga turut melawat dan memberi sumbangan kepada Muhammad Faris Hanif Rofli, 28, yang merupakan seorang OKU Down Syndrome.

Ibu bapa kepada Faris, Puan Rohani Jaafar, 52, seorang suri rumah, dan suaminya, Encik Rofli Abdul Rani, 54, yang hanya kerja kampung turut berterima kasih kepada baginda atas keprihatinan baginda kepada rakyat.
Sementara itu, baginda dan peserta ekspedisi tiba di jeti Kuala Bera pada pukul 1 tengahari dan menunaikan solat Zohor di Masjid Kuala Bera.
Baginda kemudiannya melawat rumah ke rumah asnaf bagi menyampaikan sumbangan kepada golongan tersebut sebelum meneruskan ekspedisi dari jeti Kuala Bera ke jeti Kuala Triang pada pukul 2.30 petang. -PAHANGMEDIA

