Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim
KUANTAN, 23 FEBRUARI 2024 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, pagi tadi.
Turut berangkat ialah Tuanku Yang Dipertua MUIP Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Brigadier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain.
Pada majlis itu, sebanyak RM30.098 juta zakat daripada 14 badan korporat telah diterima dengan FGV Holdings Berhad merupakan penyumbang zakat tertinggi dengan RM8.64 juta.
Diikuti FELCRA Berhad Wilayah Pahang dengan RM4 juta, manakala Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan CIMB Islamic Bank Berhad dengan masing-masing RM3 juta.

Seterusnya Kumpulan Far East Holdings Berhad RM2.21 juta, Kumpulan DRB HICOM RM2.13 juta, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) RM1.9 juta dan FOMEMA Sdn Bhd dengan zakat sebanyak RM1.74 juta.
Sementara itu, Kedai Emas Ariffin Sdn Bhd pula membuat bayaran zakat sebanyak RM1.23 juta, Kampung Aur Oil Palm Company Sdn Bhd & Madah Perkasa Sdn Bhd dengan zakat RM704,149.1 dan YP Maintenance Sdn Bhd RM600,000.
Diikuti Telekom Malaysia Berhad dendan RM542,590, Affin Islamic Bank Berhad RM250,000 dan Agrobank RM157,508.58.
Menerusi kenyataan media oleh Pusat Kutipan Zakat Dan Wakaf Pahang MUIP, Pengurus Besar Kanannya, YH. Dato’ Haji Halidan Md Daud berkata, kutipan zakat harta di Pahang pada 2023 meningkat sebanyak RM251.1 juta berbanding RM206.9 juta pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 4 peratus atau RM8.2 juta.
Manakala, jumlah pembayar zakat harta pula adalah seramai 98,616 orang dengan penyumbang terbesar adalah daripada zakat pendapatan dan hasil potongan gaji seramai 64,541 orang dengan bayaran sebanyak RM77.5 juta.
Seramai 6,328 pembayar zakat baharu dicatatkan pada 2023 yang membuat bayaran pertama di Pusat Kutipan Zakat Pahang dengan jumlah RM7.4 juta.
Dato’ Haji Halidan berkata, sebanyak RM230 juta telah diagihkan kepada 135,000 asnaf di Pahang pada tahun lalu antaranya ialah bantuan fakir miskin RM98.1 juta, dermasiswa dan pendidikan lain RM44.6 juta, pengusan masjid surau RM21.4 juta, dakwah dan pembangunan modal insan RM6.6 juta dan pembangunan asnaf RM4 juta.
Sebagai strategi kempen zakat, PKZ Pahang berusaha agar peneroka boleh melaksanakan zakat hasil ladang melalui potongan gaji bulanan dengan membabitkan 43,000 peneroka Pahang.
Selain itu, PKZ turut memberi fokus kepada kempen Wakalah Sekolah (Pemulangan Semula Wang Zakat), Wakalah kepada 45 jabatan Negeri Pahang dan mengadakan kolaborasi bersama pihak luar seperti MEF, BERNAS Jabatan Verterinar, AIM, persatuan peniaga dan lain-lain. – PAHANGMEDIA

