Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 14 FEBRUARI 2024 : Kejayaan pelaksanaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) merupakan hasil usaha semua pihak termasuklah beberapa jabatan dan agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Dan Tanah, Jabatan Pertanian dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Md Zain berkata, komitmen ini terbukti apabila pada tahun 2024 sebanyak lapan RRP diberikan manakala dua RRP lagi disediakan untuk masyarakat Orang Asli.
“Ini adalah inisiatif daripada Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang telah menyediakan peluang membantu rakyat yang susah dan asnaf di Negeri Pahang ini bermula daripada empat buah dan hari ini pada tahun ini akan ditambah kepada lapan buah rumah dan dua untuk masyarakat OA.

“Jadi mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan yang cakna kepada rakyat Negeri Pahang khususnya di kawasan saya DUN Chini,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan enam RRP di sekitar DUN Chini iaitu Kampung Tanjung, Kampung Sepaku, Kampung Salong dan Kampung Baru Salong.
Jelasnya, inisiatif RRP ini disediakan supaya dapat membantu rakyat yang memerlukan dan tidak berkemampuan untuk membina rumah sendiri.
Dalam pada itu, jelasnya, terdapat dua RRP bertiang diberikan kepada penerima di DUN Chini yang didapati menjadi kawasan berisiko banjir pada setiap tahun.
Ini merupakan kelebihan kepada penerima bagi memastikan RRP yang diterima bukan sekadar tempat berteduh tetapi juga tempat yang selamat untuk didiami bersama keluarga. – PAHANGMEDIA

