Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 13 FEBRUARI 2024 : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, YB. Dato’ Amizar Abu Adam bersedia menggalas amanah yang dipertanggungjawab kepadanya seiring titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah supaya mengutamakan kebajikan rakyat Pahang.
YB. Dato’ Amizar berkata, pelantikan dirinya sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Pahang menggambarkan agenda besar yang telah direncanakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam memantapkan sistem pentadbiran Kerajaan Pahang.
“YAB Menteri Besar memberi kepercayaan kepada saya dan juga semua saf kepimpinan Exco-Exco Mesyuarat Kerajaan Negeri dan juga saf-saf kepimpinan yang ada di Negeri Pahang terutama sekali di Bentong.
“Apa yang saya dapat lihat pada hari ini adalah satu anjakan YAB Menteri Besar mempunyai agenda yang lebih besar lagi untuk Kerajaan Negeri Pahang dengan penambahan atau pun pelantikan baru yang sedia ada kosong sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Istana Abdulaziz, di sini hari ini.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Haji Yaacob, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
YB. Dato’ Amizar sebelum ini telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober 2023 bagi mengisi kekosongan kerusi penyandangnya, Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun yang meninggal dunia dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos 2023.
Dalam pada itu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau akan mengumumkan sedikit perubahan portfolio bagi Exco Kerajaan Pahang yang akan diumumkan pada esok.
Menurutnya, perubahan ini perlu dilakukan bagi menambahbaik, memantapkan dan memperkemaskan sistem pentadbiran Kerajaan Pahang dalam memberikan khidmat kepada rakyat Pahang. – PAHANGMEDIA

