Oleh : Amalina Aminuddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 8 FEBRUARI 2024 : Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) perlu proaktif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang melibatkan penjanaan ekonomi terutamanya bagi kaum wanita.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail turut menasihati kaum wanita agar terus kuat dalam mendepani cabaran ekonomi masa kini dengan pelbagaikan kaedah jualan dan juga kreatif dalam promosi sesuatu produk.
“Saya berharap dengan penubuhan (WI) khususnya di Daerah Lipis ini menjadikan kaum wanita kuat dan dapat menjalankan aktiviti yang lebih banyak dan menarik bagi mempelbagaikan lagi keluaran produk,” katanya.

“Peranan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan wanita tidak pernah sama sekali dilupakan malah memperjuangkan hak-hak wanita dalam memperkasakan peranan wanita dengan menyediakan pelbagai inisiatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Daerah Lipis Ke-24 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Turut hadir mengiringi ialah isteri beliau, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin, Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad bersama isteri, Datin Sri Nora Ibrahim, ADUN Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Long bersama isteri, Datin Hamizah Hamzah, Pengerusi WI Derah Lipis Wan Norizan Wan Badiuzzaman serta Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Dalam pada itu , YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) kerana begitu memberangsangkan.
“Saya perlu berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam menghasilkan keuntungan dalam negeri Pahang kerana dengan hasil itu saya dapat beri RM100,000 kepada anda semua hari ini,” katanya.
Peruntukan khusus bagi pembangunan wanita telah dirancang untuk Belanjawan 2024 sebanyak RM4.670 juta dan antaranya adalah Program Anggun Suri, Anggun Maju, Usahawan Suri Rumah dan sebagainya. -PAHANGMEDIA

