Oleh : Fairus Mohd
BERA, 6 FEBRUARI 2024 : Keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Triang hari ini mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat.
Baginda berkenan bercemar duli melawat beberapa tempat antaranya Galeri Warisan dan SJK (C) Triang 1 untuk menelurusi terowong sejarah berusia 100 tahun sekolah dan bandar Triang selain menerima taklimat berkenaan sejarah pembukaan Triang.

Baginda turut berkenan menyampaikan kurnia kepada 533 orang murid pelbagai kaum termasuk murid OKU, anak yatim, miskin dan ibu tunggal serta beramah mesra dengan semua guru dan murid sekolah dengan menyertai aktiviti kraf Tahun Baharu Cina selain dipersembahkan dengan seni membancuh teh Cina serta melengkapkan tulisan kaligrafi.
KDYTM Tengku Mahkota Pahang kemudiannya berkenan meneruskan Ziarah Kasih ke sembilan buah rumah fakir miskin, pesakit terlantar dan pesakit kronik di Kampung Baru Triang bagi menyampaikan kurnia dan bantuan.
Ratusan penduduk setempat terharu melihat keberangkatan tuanku ke kampung mereka sekaligus merasai keikhlasan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh baginda terhadap rakyat di sini.
Turut hadir mengiringi baginda ialah Exco Kebudayaan dan Pelancongan, YB Cik Leong Yu Man; Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan serta Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif @ Ahmat. – PAHANGMEDIA

